Seseorang ibu yang melahirkan anak akan dijaga selama 44 hari. Masa ini juga
dikenali sebagai masa berpantang dan ibu yang baru bersalin akan dikenakan
beberapa pantang larang. Dalam tempoh ini kesihatan ibu dijaga dengan begitu
rapi.
Di antara makanan-makanan yang dilarang semasa dalam pantang adalah
seperti berikut:
1.
Makanan yang boleh menyebabkan gatal seperti udang, sotong, ayam dan
lain-lain.
2.
Makanan yang sejuk seperti sayur-sayuran, buah-buahan, teh dan lain-lain.
3.
Makanan yang tajam seperti nanas, air tebu dan sebagainya.
4.
Makanan yang berangin seperti nangka, pulut, petai, ubi kayu dan
sebagainya.
5.
Makanan yang beracun atau berbisa seperti pisang, roti yang dicampur dengan ibu
roti dan sesetengah jenis ikan seperti pari, terubuk dan sebagainya.
6.
Makanan yang berminyak seperti santan, kacang, minyak masak dan sebagainya.
Makanan ibu semasa dalam pantang perlu dijaga supaya tidak menjejaskan kesihatan
ibu terutama ibu yang menyusukan anak. Jika hal ini tidak diambil berat,
kesihatan anak juga turut terjejas umpamanya anak terkena ruam panas, kembung
perut dan sebagainya.
Selain itu makanan sejuk boleh menyebabkan kebas, pening, sakit urat saraf,
sesak nafas, sakit sendi, kejang-kejang otot, kancing gigi dan turun darah.
PANTANG LARANG LAIN
Selain daripada makanan terdapat pantang larang lain yang bersangkutan dengan
ibu yang baru bersalin. Pantang larang ini diadakan untuk kebaikan ibu itu
sendiri.
Sewaktu berjalan hendaklah secara perlahan dan cermat. Bendul tidak boleh
dilangkah. Ini kerana dikhuatiri ibu jari kaki tersepak bendul yang boleh
menyebabkan tumpah darah atau tersungkur. Tumpah darah yang berterusan boleh
membawa maut.
Jangan mengangkat benda-benda yang berat kerana ia boleh memudaratkan ibu.
Jauhkan daripada sesuatu yang boleh menyebabkan rasa terkejut. Ini boleh
mengakibatkan darah naik ke kepala dan ini boleh menjejaskan kesihatan ibu.