Kritikan...
Tiada siapa yang menyukai apabila dirinya dikritik oleh orang lain
tatkala melakukan sesuatu yang tidak disenangi oleh orang yang
mengkritik itu. Namun sebagai manusia, kita tidak akan dapat lari
daripada mendengar kritikan-kritikan orang lain terhadap diri kita,
samada kita suka ataupun tidak dengan kritikan tersebut. Kita mesti
menghadapinya dengan pasrah dan mengharapkan agar kata-kata kritikan
tersebut adalah tidak benar.
Namun
pernahkah kita terfikir bahawa kritikan-kritikan tersebut sebenarnya
boleh membawa kepada perkara-perkara positif terhadap diri kita
sendiri? Bagi mereka yang menganggap kritikan itu sebagai suatu wasilah
pengislahan atau agent perubah untuk ke arah yang lebih baik
lagi, pastinya akan memberi kebaikan kepada dirinya sendiri sebagai
timbal balas atas apa yang mereka fikirkan. Bak kata pepatah "Siapa
diri kita bergantung pada apa yang kita fikirkan. Demikian jugalah bagi
mereka yang melihat kritikan itu sebagai negatif, akan mudah berputus
asa dan akhirnya terperangkap dengan kritikan tersebut lalu melakukan
sesuatu yang merugikan diri sendiri.
Menerima
kritikan yang membina pastinya tidak ada masalah kerana kritikan yang
membina biasanya diterima dengan baik. Namun kita pasti akan merasa
sesuatu apabila kritikan yang menjatuhkan dilemparkan ke atas diri
kita. Kritikan-kritikan seperti bentuk rupa paras, kebolehan , prestasi
peperikasaan dan sebagainya sering kali diperbesarkan oleh diri kita
sendiri apabila ada yang mengkritik kita.
Ramai
yang menganggap kritikan adalah sebagai suatu masalah besar yang perlu
disembunyikan dan akhirnya akan merana seorang diri dengan masalah
tersebut. Namun sedarkah kita, masih ramai manusia yang mepunyai
masalah yang jauh lebih besar dari kita? Maka sewajarnya kita
mempersiapkan diri dari segi mental khususnya agar apabila menghadapi
kritikan-kritikan yang menjatuhkan seperti ini, kita dapat berfikir
secara positif dan proaktif.
Tindakan yang wajar kita terima apabila diri kita dikritik adalah sabar dan tenang akan
kritikan-kritikan tersebut. Memang nampak agak sukar apabila kita
dituntut untuk bersabar apabila ada sahaja individu-individu lain yang
mengkritik kita. Apabila dikritik, mungkin sahaja kita merasakan maruah
kita telah dimalukan, namun lupakah kita bahawa ada ramai lagi manusia
lain yang menghadapi dugaan dan cabaran yang jauh lebih hebat dari kita.
Rasulullah
SAW pun masih boleh bersabar tatkala penduduk Mekah memaki hamun
baginda. Dugaan yang ditempuh oleh baginda jauh lebih besar dari kita
namun dilalui dengan penuh sabar dan tenang tanpa ada perasaan mahu
membalas dendam oleh baginda SAW.
Tetapi
malangnya kita pada hari ini pula melakukan perkara yang bertentangan
dengan baginda tatkala diri dikritik. Kritikan yang sedikit sahaja
sudah cukup membuatkan kita melenting dan marah dengan tanpa terus
berfikir panjang.
Seharusnya
kita menjadikan kritikan yang negatif itu sebagai pembakar semangat.
Ya... ramai di antara kita yang melihat kritikan sebagai sesuatu yang
melemahkan semangat. Lumrah apabila kita dikritik pasti akan merasakan
bahawa kritikan tersebut adalah benar lantaran kelemahan diri kita ,
tetapi ubahlah persepsi kita mengenai kritikan-kritikan itu sebagai
suatu panduan bagi kita dalam menempuh masa-masa akan datang untuk
tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Jadikanlah kritikan-kritikan yang
kita terima itu sebagai pendorong kepada kita untuk menepis
cabaran-cabaran pada masa hadapan dengan lebih berkeyakinan untuk tidak
terjatuh ke dalam perangkap kegagalan yang lalu.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;-
"Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita
juga sebenarnya perlu bersyukur jika masih ada yang mahu mengkritik
diri kita , tidak kira samada kritikan itu dibuat dengan ikhlas atau
sebaliknya, kita perlu melihatnya sebagai suatu tanda kasih nya mereka
kepada kita dan sewajarnya berterima kasih kepada mereka kerana masih
mahu memberi kritikan kepada kita. Bayangkan sahaja jika kita menempuh
dunia ini tanpa nasihat dan kritikan kriktikan yang membina walau
kadangkala ianya menyakitkan, sudah tentu kita akan jauh jauh tersesat
dalam dunia penuh kenikmatan ini. Ingatlah bahawa tidak ada manusia di
dunia ini yang boleh hidup dengan merasakan dirinya sempurna dan tidak
perlu dikritik lagi.
Walaubagaimanapun
cara kita menerima kritikan itulah yang jauh lebih penting. Ramai yang
apabila dikritik akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan diri
mereka sendiri kerana tidak dapat menerima kekurangan yang ada pada
diri mereka. Ada yang akan menangis dan tidak kurang juga yang akan
membunuh diri sendiri jika kritikan yang diterimanya dirasakan
terlampau berat. Ingat lah bahawa semua orang di dunia ini mempunyai
masalah tetapi cara dan bagaimana masalah itu diselesaikanlah yang
membezakan seseorang individu itu dari individu yang lain.
Jelas
bahawa kritikan itu sebenarnya penting dalam memandu kita ke arah
kebaikan dan kebahagian hidup di dunia ini. Apa yang penting adalah
kita menerima setiap kritikan itu dengan hati yang terbuka dan tenang.
Fikirkan sahaja bahawa setiap kritikan itu sebenarnya adalah panduan
yang penting untuk kita berjaya di masa hadapan.
Teringat akan kata-kata aktivis muslim Amerika, Malcolm X yang berbunyi "If you have no critics, you'll likely have no success",
benar sungguh kata pepatah ini... Apalah manisnya hidup ini tanpa
sedikit masin dan pahit untuk diselang-selikan dalam melayari bahtera
kehidupan di alam dunia ini.
No comments:
Post a Comment