aku cuma nak share cerita si penulis dgn semua yg membaca...agak takut dgn bebudak pompuan zaman skang ni, dah takdak sifat malu dan takut dah...sila baca hasil tulisan si penulis...
Merenung
ke luar jendela sambil melihat kebesaran ciptaan Allah. Titisan hujan
masih lagi turun membasahi bumi. Kopi 'o' panas di dalam cawan aku
teguk perlahan. Akhbar di atas meja aku capai. Mula mencari berita yang
boleh memberi ilham untuk aku berkarya. Mata aku tertancap pada satu
berita. Berita yang sudah banyak kali terpapar di dada akhbar,
television, radio, majalah dan entah apa media lagi.
Sekali
lagi aku meneguk kopi 'o' yang mula sejuk. Aku pandang lagi keluar
jendela. Hujan renyai masih menyimbah bumi. Kemudian, mata aku beralih
lagi kepada berita tadi.
'140 bayi luar nikah berjaya diselamatkan' Aku baca lagi.
Astaghfirullah..,
angka bayi luar nikah dari tahun ke tahun semakin bertambah. Itu yang
berjaya diselamatkan. Bayi yang dibuang entah berapa puluh lagi di luar
sana. Hati aku semakin sakit. Dari statistik, kaum Melayu yang paling
ramai membuat kerja berdosa ini. Aku raup muka sejenak. Tanpa sedar,
mata ku mula bergenang. Seketika, titisan jernih mula turun ke pipi.
Aku mula menyeka titisan hangat itu.
Bertaubatlah wahai perempuan!
Aku
sudah berjanji pada diri. Tiada lagi air mata yang perlu tumpah. Namun
jiwa dan perasaan aku tidak semudah itu untuk mengatakan tidak. Setiap
kali aku menatap wajah bayi yang tidak berdosa, hati aku sebak
sedangkan air mata tidak mampu ku tahan. Ku biarkan ia bercucuran.
Semakin sebak menyiat perasaanku, semakin juga laju aliran air mata. Oh
Tuhan..
Semudah
itu air mata itu tumpah dan semudah itu juga perempuan-perempuan itu
menadah tubuh untuk lelaki yang bukan halal baginya. Dan semudah itu
juga hasil hubungan itu dibuang, dicampak, dibunuh sesuka hati. Asal
orang tidak tahu. Tapi apakah kamu sedar wahai perempuan bahawa Allah
Maha Tahu?
Teringat pada satu firman Allah Ta'ala yang bermaksud;
"Dan
janganlah kamu membunuh diri seorang manusia yang diharamkan oleh Allah
membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh
secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa
menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau-lampau dalam
menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat
sepenuh-penuh pertolongan."
(Surah al-Israk ayat 33)
(Surah al-Israk ayat 33)
Bertaubatlah wahai perempuan!
Kadang-kadang
terfikir, begitu senang perempuan-perempuan itu mengandung dan
melahirkan tanpa bantuan sesiapa. Keluar sahaja bayi,
perempuan-perempuan ini sudah mula berjalan dan bekerja seperti biasa.
Malah sanggup 'mengembara' demi untuk membuang bayi yang dilahirkan
sejauh mungkin. Biar tidak dapat dikesan. Mudah sangatkan?
Sabda Rasulullah s.a.w
"Hindarilah
zina sebab ia menimbulkan enam kesan buruk, tiga di dunia dan tiga di
akhirat. Yang di dunia, zina akan menghilangkan kegembiraan,
menyebabkan fakir dan mengurangi umur sedangkan keburukan di akhirat
nanti, zina menyebabkan pelakunya diazab, dihisab secara ketat dan
kekal di neraka."
(Hadis riwayat Baihaqi)
(Hadis riwayat Baihaqi)
Sedangkan
wanita yang bergelar isteri begitu payah bertarung nyawa demi
melahirkan zuriat untuk suami. Sakit berjam-jam semata-mata untuk
memberi laluan bayi menjenguk dunia. Itu belum lihat pada pasangan sah
yang tidak dikurniakan zuriat. Berapa ramai di luar sana yang begitu
berusaha dan berubat semata-mata untuk mendapatkan zuriat sendiri.
Berhabis wang, tenaga dan masa untuk memiliki anak dari darah daging
sendiri. Tidak pernah putus asa selagi hayat masih ada. Selagi disahkan
sihat untuk memiliki zuriat sendiri.
Bertaubatlah wahai perempuan!
Aku
teguk lagi kopi 'o' yang telah sejuk. Suasana dingin di luar jendela
telah menyusup masuk ke bilik. Udara dari kipas turut menyejukkan lagi
bilik kecil itu. Pipi ku mula kering dari air mata yang menitis tadi.
Memang patut pun ia kering kerana air mata itu sudah lama aku tumpahkan
suatu ketika dulu. Bertahun-tahun. Namun siapalah aku yang tidak punya
hati yang tabah bila berdepan dengan berita begini.
Setiap
kali bersua saudara mara, setiap kali itulah hati aku sebak. Setiap
kali Syawal menjelma, setiap kali itulah aku lihat bertambahnya umat
Rasulullah SAW. Aku hanya mampu tersenyum. Sering juga soalan-soalan
yang menerjah telinga ku,
"Tidak berubat ke? "
"Tidak mahu anak ke?"
"Merancang ke?"
"Tidak mahu ambil anak angkat ke?"
Aku senyum lagi. Tiada lagi kata-kata yang mampu diluahkan. Dulu rajin juga mulut ini menjawab
"Belum ada rezeki lagi"
Tapi
sampai bila aku harus berkata begitu sedangkan umur semakin meningkat.
Sindiran demi sindiran aku terima tapi aku tidak pernah ambil hati dan
aku tidak perlu menitiskan air mata lagi.
Bagiku
jika aku ditakdirkan untuk tidak memiliki zuriat sendiri, aku redha.
Aku bangga mempunyai encik suami yang memahami. Encik suamilah yang
memujuk dan memberi semangat untuk aku tabah menghadapi semua itu.
Syukur pada MU ya Allah.
Pernah juga ku usulkan agar encik suami bernikah lagi agar dia mendapat
zuriat keturunan sendiri. Aku semakin sebak bila dia mula berbicara.
"Abang sayangkan awak. Jika ditakdirkan kita hanya hidup berdua, abang redha. Hanya awak isteri abang dunia akhirat"
Air
mata ku tumpah tatkala mendengar bicara lembut encik suami. Namun aku
tidak putus berdoa di setiap solat semoga kehidupan aku dan encik suami
dikurniakan zuriat. Perkataan putus asa tidak pernah padam dalam kamus
hidup ku. Aku berdoa dan terus berdoa. Keinginan untuk memiliki zuriat
sendiri masih kukuh di hati.
Alhamdulillah,
aku dan encik suami dipilih oleh Allah menjadi tetamuNYA di bumi
barakah. Aku menangis di hadapan Kaabah sambil berdoa moga dikurniakan
zuriat. Di Multazam, di Hijr Ismail, di Maqam Ibrahim, di Raudhah, di
padang Arafah dan di Mudzalifah. Semoga suatu hari nanti kami juga
memiliki zuriat sendiri walaupun hanya seorang.
Kopi
'o' di dalam cawan sudah tinggal suku. Aku tatap lagi berita
itu. Pernah aku berkata sendiri ketika menatap berita itu, tidak adakah
antara perempuan-perempuan itu meninggalkan bayi mereka di depan pintu
rumah ku? Tidak adakah antara perempuan-perempuan itu sudi menghulur
bayi yang tidak berdosa itu kepada ku? Kadang-kadang terbawa-bawa ke
dalam mimpi. Aku bertemu dengan seorang bayi yang dibuang oleh
perempuan-perempuan itu di laman rumah ku. Bangun pagi, aku segera ke
laman walaupun aku tahu itu cuma mimpi. Memang aku hanya bermimpi.
Hampa.
Pernah
juga aku membaca satu luahan hati seorang perempuan yang telah
bertaubat. Masa seronok dulu dia tidak ingat halal haram. Dia hanya
tahu berseronok, seronok melakukan maksiat. Bebas katanya. Pergaulan
bebas sudah menjadi amalan biasa sehinggalah dia mengandung beberapa
kali. Setiap kali mengandung, dia gugurkan kandungannya di usia 2 bulan.
Suatu
hari dia bermimpi dikejar bayi-bayi yang digugurkannya. Meracau-racau
seorang diri selepas beberapa malam dia bermimpi ngeri. Oleh kerana
tidak tahan dengan mimpi ngeri begitu, akhirnya dia bertemu seorang
ustazah dan mula bertaubat. Alhamdulillah, dia bertemu jodoh dengan
seorang pemuda. Namun takdir Allah siapa yang tahu. Sehingga kini dia
puas berusaha untuk mendapatkan zuriat sendiri. Kini barulah dia sedar
betapa selama ini dia telah banyak berbuat dosa besar. Bukan hanya
berzina tetapi juga membunuh.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
"Umatku
akan sentiasa baik selagi belum lahir anak zina di kalangan mereka.
Jika anak zina sudah tersebar di kalangan mereka, maka aku bimbang
Allah akan menimpakan azab-Nya kepada mereka."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Dan
kepada perempuan-perempuan itu, bertaubatlah kamu dengan sebenar-benar
taubat. Lakukanlah taubat nasuha. Allah maha Pengasih dan maha Menerima
Taubat. Bertaubatlah!
Aku tutup akhbar. Kopi 'o' tadi juga sudah habis. Segera aku
mengambil wudhuk sebaik azan selesai berkumandang.
"Ya
Allah! Bukakannlah pintu hati perempuan-perempuan itu untuk bertaubat
kepadaMU. Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku zuriat yang soleh dan
solehah."
No comments:
Post a Comment